ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA (OTM)

 

Pengenalan

Pembangunan muzik tradisional telah mendorong kepada penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia(OTM). OTM beridentitikan masyarakat majmuk negara ini dari segi kemanusiaan dan muzikal, yang mana budaya pelbagai kaum menjadi teras, dengan mengekalkan fungsi dan identiti muzik asli dan warisan. Pemilihan genre dan gubahan muzik akan menyatukan ciri-ciri keaslian muzik warisan ini dalam satu gabungan yang penuh dengan nilai estetika dan keasliannya. Penubuhan OTM adalah selaras dengan hasrat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui seni muzik.

 

Penubuhan OTM merupakan usaha berterusan oleh KPKK melalui Istana Budaya, bagi menstrukturkan semula ahli muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik serta menjadikan kepelbagaian peralatan muzik tradisional Malaysia bertaraf antarabangsa dan profesional, setanding dengan orkestra simfoni barat. Usaha ini menyokong idea Gagasan 1Malaysia yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, iaitu menyemarakkan keharmonian kaum melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. OTM turut menggabungkan ahli muzik handalan dari Professional Cultural Center (PCC) dan Temple of Fine Arts (TOFA). Gabungan ini memapar dan mengungkapkan perpaduan dan semangat setiakawan di kalangan rakyat berbilang kaum.

 

OTM dilihat sebagai pemangkin revolusi muzik Malaysia di abad ke-21. Ia berteraskan muzik pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Gabungan pelbagai genre muzik ini adalah diharap dapat dijadikan satu landasan kepada suatu konsep muzik baru rakyat Malaysia yang bersatu di abad yang mendatang.

 

OTM telah dilancarkan secara rasminya oleh YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada 06 Februari 2010 bertempat di Panggung Sari Istana Budaya.

 

 

Visi

  • Menghasilkan identiti kesenian muzik negara Malaysia yang unik.
  • Menggalakkan keharmonian di antara masyarakat berbilang kaum Malaysia melalui aktiviti muzik.
  • Menyuburkan semangat perpaduan di antara masyarakat berbilang bangsa Malaysia.
  • Menggalakkan masyarakat supaya lebih menghargai kesenian tradisional tempatan.
  • Menaikkan imej KPKK sebagai pusat kebudayaan yang bersifat kebangsaan dan sentiasa peka dengan perubahan semasa.
  • Memartabatkan seni warisan negara di peringkat tempatan seterusnya di peringkat antarabangsa.

 

Pencapaian

 

OTM telah mengadakan beberapa persembahan di dalam dan luar negara antaranya, Program Titian Budaya Malaysia Singapura, di Esplanade Singapura (Mei 2008), Majlis Ulang Tahun ke 50 Bank Negara dan Sempena Persidangan Gabenor-Gabenor Bank Dunia (Januari 2009), Rumah Terbuka Tahun Baru Cina (7 Feb 2009), Konsert Simfoni Rakyat Malaysia (2007) dan Konsert 100 (2004). Enam daripada ahli muzik OTM juga merupakan ahli gabungan Orkestra Tradisional ASEAN-KOREA (AKTO) yang telah mengadakan persembahan sulung pada Mei 2009 di Korea. Konduktor OTM, Mohd Yazid Zakariab merupakan salah seorang komposer dan konduktor yang terlibat di dalam AKTO.

 

 

Ahli Muzik OTM

 

OTM kini dianggotai seramai 60 orang ahli pada satu-satu masa tetapi boleh dikembangkan hingga 86 orang ahli muzik. Ahli OTM terdiri daripada ahli muzik yang memiliki kemahiran, kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang muzik berkaitan. Pemilihan ahli muzik tersebut dilakukan dengan teliti melalui sesi ujibakat yang berterusan. Alat-alat muzik tradisional OTM boleh diklasifi kasikan dalam beberapa kategori iaitu:-

 

Plugged Strings
• Yang Qin
• Mandolin
• Sape
• Zhong Ruan
• Sitar
• Pipa
• Gambus
Gamelan
• Bonang
• Gambang
• Saron Pekin
• Demung
• Saron Barong
• Greteh
• Gong Gamelan
Percussion
• Pergendangan Melayu
• Kompang/Marwas
• Latin Percussion
• Tabla
     
Bowed String
• Rebab OTM
• Zhong Hu
• Erhu
• Cello
• Gaohu
• Double Bass
Woodwinds
• Seruling Bambu
• Dizi
• Bansuri
• Souna
• Serunai/Bansi/Saluang/Pupuik
Rhythm Section
• Keyboard
• Drum OTM
• Electric Bass
• Gitar Akustik

 

Gabungan alat muzik tradisional ini adalah bersifat elastik dan fleksibel yang mana ia boleh ditambah atau diperbesarkan berdasarkan keperluan OTM. Alat-alat muzik tradisional yang lain sedang dikaji kesesuaiannya untuk diterapkan dalam OTM. Buat masa sekarang, OTM masih lagi menggunakan beberapa alat muzik Barat namun di masa hadapan, penggunaan alat muzik Barat ini akan diganti sepenuhnya oleh penggunaan alat muzik tradisional Malaysia.

 

Spesifikasi Teknikal 1

Spesifikasi Teknikal 2

Spesifikasi Teknikal 3

  CARIAN PERSEMBAHAN/PROGRAM   




mymobile
mysms