
Tajuk: Gema Zafana
| Kategori | : | Teater | | Tempat | : | Panggung Sari | | Tarikh | : | 26 - 29 Disember 2009 | | Sinopsis | : | Sebuah persembahan tarian hebat anjuran Yayasan Warisan Johor yang melibatkan lebih 50 orang penari di bawah rekaan Onn Jaafar. Gerakan kreatif mengikut rentak zapin yang mewakili pelbagai negeri di Malaysia seperti Zapin Arab, Zapin Lenga, Zapin Pekan, Zapin Sarawak dan sebagainya dengan iringan kumpulan muzik secara langsung. |
| |  |
Nilai-nilai seni dan artistik yang dipaparkan dalam Gema Zafana diyakini mampu mengembalikan nostalgia kehidupan masyarakat Melayu yang semakin terhakis di bawa arus kemodenan. Kesedaran rakyat dari pelbagai masyarakat untuk bersatu padu, menjunjung rukun dan mendaulatkan semangat bangsa akan dapat diperlihatkan dalam persembahan Gema Zafana 2009.
Pementasan Gema Zafana 2009 akan menghimpunkan sebahagian daripada versi zapin yang terdapat di Johor dan melibatkan seramai 200 orang artis budaya, penyanyi, pemuzik Yayasan Warisan Johor dan tenaga produksi.
Gema Zafana 2009 juga melibatkan lebih 50 orang penari kanak-kanak pelbagai kaum iaitu Melayu, India dan Cina yang digilap bakatnya menerusi Program Sanggar Pengembangan yang digerakkan secara percuma oleh Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor sejak tahun 2001.
Jipin, Jepin, Dana atau Zafin adalah gelaran yang sama bagi tarian zapin. Seni tari ini telah dibawa oleh pedagang-pedagang Muslim dari Parsi, India dan Semenanjung Arab(Hadramaut) yang telah mengasimilasikan diri di Alam Melayu dari abad Ke-16 hingga abad Ke-19.
Tegasnya, seni zapin Johor ini bukanlah genre seni tari warisan bangsa yang bercirikan hiburan dan bersuka-suka sahaja. Zapin Johor sesungguhnya dapat berfungsi dan berperanan menyampaikan mesej positif. Ini jelas kerana gerak tari zapin sangat murni dengan kehalusan seni tari Melayu, nyanyiannya pula sering mengingatkan kita kepada pesan orang tua-tua melalui gurindam lama bersalut puji-pujian kepada Rasul dan Tuhan Yang Maha Kaya. Bunyi-bunyian daripada petikan Gambus dan Taksim yang panjang sangat melegakan telinga. Begitu juga telingkahan Gendang Marwas menyegarkan rasa menjana tenaga kepada pemainnya. Tahtom dan Wainab dihujung persembahan mencuit hati untuk menyambung permainan hingga dinihari.
Begitulah Zapin Johor dan permainannya, Merdu Didendang, Cekal Ditandak, Halus Nasihat, Kental Pujian-pujianNya.