ARTISTANA

 

Sejarah / Latar belakang

Artistana adalah nama bagi kumpulan artis tari dan muzik Istana Budaya yang mempunyai keanggotaan seramai 87 orang penari dan 25 orang pemuzik tradisional. Berdasarkan jumlah keahlian tersebut, Artistana membuktikan kemampuannya menjadi satu unit tenaga kreatif yang mampu menghasilkan produk persembahan yang bermutu. Sebelum dikenali sebagai Artistana, kumpulan ini dikenali sebagai Kumpulan Budaya Negara dan dianggotai oleh lebih kurang 20 orang ahli sahaja. Tahun demi tahun, kumpulan ini semakin berkembang dan mendapat kepercayaan dan keyakinan dari banyak pihak. Kini, Kumpulan Kesenian Istana Budaya telah menjadi sebuah kumpulan kesenian terbesar di Malaysia.

Pada hari ini Kumpulan Kesenian Istana Budaya mempunyai seramai 6 orang koreografer yang berpengalaman lagi kreatif yang mampu bertindak sebagai Pengarah Tari, iaitu Mohd Shahril Akla, Abu Bakar Sulaiman, Azman Abu Bakar, Hasnol Hassan, Zainal Abidin Bujang, Mahmood Ibrahim, Abdul Mutalif Abu Bakar dan Khalid Mohamad Nor. Para pemuzik tradisional Kumpulan Kesenian Istana Budaya turut berkebolehan mengubah dan mencipta lagu untuk sesebuah produksi.

 

Gabungan kedua-dua kumpulan tenaga kreatif ini mampu mempersembahkan pelbagai genre tari seperti Tarian Istana, Tarian rakyat, Tarian Pelbagai Kaum, Tarian Etnik dan sebagainya. Selain itu, Artistana turut berkebolehan untuk muncul di pentas persembahan teater tradisional seperti Makyung, Wayang Kulit, Dikir Barat dan Randai. Kumpulan ini tidak sekadar menjadi penari sahaja malah mereka turut berkemampuan mementaskan dramatari kontemporari, teater dan teater muzika. Kejayaan dalam pementasan teater ANAK TANJUNG, teater CINDAI, teater RUBIAH, teater epik TUN PERAK dan bangsawan SITI ZUBAIDAH dan MAHSURI membuktikan kemampuan kumpulan ini.
 

Artistana juga sering mengadakan persembahan kesenian di luar, bagi mengisi program kesenian dan promosi pelancongan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Antaranya ialah Festival Kesenian seperti ASEAN DANCE FESTIVAL 1, 11 dan 111, FESTIVAL RAMAYANA di Kemboja dan sebagainya. Sehingga kini, kumpulan ini telah mengadakan persembahan kesenian di lebih daripada 30 buah negara.

  CARIAN PERSEMBAHAN/PROGRAM   




mymobile
mysms