Pelajar KAYM ikuti lawatan sambil belajar ke Istana Budaya

SEBAHAGIAN pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka bergambar kenangan sempena lawatan sambil belajar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MELAKA 5 Feb. - Sebanyak 40 pelajar Kelab Kebudayaan dan Kesenian Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengikuti lawatan sambil belajar ke Istana Budaya, Kula Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pembangunan Pelajar, Zeti Akhtaa Muhamaad berkata, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada penggiat seni budaya dalam kalangan pelajar KAYM berkaitan aktiviti kebudayaan dan kesenian yang boleh memberi inspirasi serta pengalaman berguna kepada mereka.

Menurutnya, program itu membolehkan para peserta mendapat maklumat dengan lebih terperinci mengenai suasana persekitaran di Istana Budaya di samping mendapat gambaran sebenar proses pementasan dan pengurusan yang boleh dipelajari serta diaplikasikan di kolej berkenaan.

"Lawatan ini merupakan satu bentuk pembelajaran secara tidak formal kepada pelajar selain memberi peluang kepada mereka mendekatkan diri dengan para karyawan serta budayawan tempatan.

"Kerjasama antara KAYM dan Istana Budaya ini amat penting dalam memastikan nilai seni budaya di Malaysia dapat dimartabatkan dan dipertingkatkan dalam kalangan mahasiswa," katanya.

Zeti Akhtaa berkata, pendedahan para peserta itu juga akan menyuntik semangat cintakan budaya dalam kalangan mahasiswa sekali gus menaikkan nama KAYM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa tetapi masih utuh menjaga nilai seni budayanya.

Menurutnya, KAYM sedia menjalin kerjasama dalam bidang seni pada masa akan datang yang mampu memberikan impak positif dan bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Tambahnya, dalam lawatan itu para pelajar turut melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan kumpulan penari-penari kesenian Istana Budaya yang dipentaskan khas untuk para peserta KAYM.

  CARIAN PERSEMBAHAN/PROGRAM   




mymobile
mysms